Thursday, May 22, 2008

Ledakan Sifar (SHINE STAR RECORDS)

Our Music Your Inspiration
To contact :

Shine Star Records.
36-1, Jalan 2A/27A
Section 1 Wangsa Maju
53300 Setapak
Kuala Lumpur, Malaysia
P +60173772100
Instrumentalist yang bergerak secara solo dan baru melancarkan single pertama yang menampilkan 2 lagu sebagai langkah awal dalam mewarnai industri muzik.

Kelahiran Kuala Lumpur tahun 1975, pernah diundang sebagai pemain seruling dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang, Nite of Soulful Star, Thursday Nite Live, International Concert Sound of Islam, Zoom In, teater tempatan dan persembahan-persembahan di Malaysia dan Singapura samada sebagai sessionist mahupun solo.

First Single
Beberapa lagu telah pun dirakam, namun sebagai permulaan yang baik hanya menampilkan sepasang lagu, ‘Dance With The Wind’ dan ‘The Phoenix’ yang memiliki jiwa dan nyawa tersendiri. Ianya adalah tapak pertama sebelum terus mengorak langkah mempertontonkan karya seni yang lebih merangsang jiwa dan minda.

Kedua-dua lagu ini, adalah hasil kerja dan produksi peringkat awal yang baik. Sungguhpun ada kekurangan, namun yang terpenting, ia berkeupayaan menyentuh hati dan imaginasi pendengar. Muzik umpama lukisan, sungguhpun muzik tidak dapat dilihat oleh mata, namun muzik dapat didengar dan dirasa oleh hati.

Single pertama ini, umpama intro kepada sebuah lukisan besar yang bakal menggambarkan peristiwa-peristiwa, yang meluahkan rasa yang terpendam serta menceritakan kepada pendengar melalui alunan dan ramuan irama muziknya.

Dance With The Wind, lagu ciptaan sendiri, sekaligus menjadi tajuk single dan pengenalan Rohaslam Hizad Ahmad yang cuba mengajak pendengar menyelami perasaan yang terpendam. Alunan melodi yang mudah, digarap dengan piano, gitar, sitar, tabla, drum, string dsb menjadikan ia seakan lagu soundtrack sebuah filem. Ini merupakan sebuah lukisan yang indah, kerana tersembunyi padanya kisah suka dan duka sebuah kehidupan.

The Phoenix, lagu ciptaan James Boyle. Beliau pernah memenangi anugerah Cameronian Boh Award ketegori ‘The Best Music Director’ pada tahun 2006. Lagu ini memiliki alunan melodi yang semangatnya berjiwa juang, lalu diperkukuhkan dengan bunyian instrumen tradisional seperti gambus, gendang silat, kesi, rebana, rebana ubi, dan diperkayakan lagi dengan irama Asia dan Gaelic. Phoenix, secara umum menceritakan kekuatan, kejituan, keutuhan dan jiwa perjuangan yang besar.

Dengan lahirnya single ini, mudah-mudahan ia mampu memberi pendengar pilihan alternatif muzik yang sedia ada; dan, sebagai pendekatan melalui seni dan muzik, ia bisa menjadi inspirasi serta menyumbang secara positif kepada masyarakat dalam usaha mereka mencapai masa depan yang baik dan sihat.

Sebagai single pertama yang bernaung bawah ‘Indipendent record label’ milik sendiri, Shine Star Records (SSR), berhasrat album pertama ini bakal menjadi pencetus dalam mempelbagaikan usaha kreativiti muzik samada yang berunsur tradisional, gabungan tradisional-moden, mahupun moden tetapi berkeupayaan menerapkan jiwa antarabangsa.

Keperitan peringkat awal yang dilalui oleh SSR adalah ‘commitment to quality’ – dalam menghasilkan muzik bernafas baru, produksi studio yang bernilai, artwork album yang baik, perkakasan dan bahan-bahan yang bermutu, dan lebih dari itu, menghasilkan kejujuran dalam muzik.

‘SSR instrumental music’ menyajikan kelainan dalam lapangan muzik kontemporari. 2 lagu baru yang ditampilkan dipengaruhi oleh elemen bangsa lain seperti India, Cina, Eropah dan Melayu. Selain percubaan mengenengahkan hasil kerja idea baru dan citarasa moden-tradisional, SSR berusaha mendapatkan kualiti kerjaseni yang menyentuh hati dan minda pendengar dalam jangkamasa panjang.

Pendekatan
Record label dalam industri muzik adakala dikritik oleh masyarakat sebagai syarikat yang menawarkan kerosakan sosial. Manakala kami memikirkan arah dan hala tuju positif serta pendekatan membina melalui muzik.

Sehubungan itu, SSR berharap muziknya dapat menyumbang ke arah kebaikan. Muzik sahaja tidak dapat mengubah dunia, SSR menaruh harapan agar perspektif muziknya yang unik ini dapat membantu ke arah isu-isu penting semasa (spt Global Warming, peperangan, kebuluran, bencana dsb) serta dapat mempengaruhi kualiti kehidupan kita. Kami tumpukan usaha kami tidak hanya pada muzik, tetapi ilham. Kami rasakan bahawa seni, muzik khususnya, dapat membantu secara tidak langsung kepada akademik, ekonomi, arena politik dsb.

Terima kasih dari kami,
Shine Star Records.

Muzik Kami, Inspirasi Anda

Pandangan Peribadi Tentang Apa Itu Muzik?

Assalamualaikum w.b.t.

Pertama sekali, syukur ke hadrat Tuhan Yang Esa, Segala Pujian yang sememangnya adalah milikNya Selamanya, Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung Dengan Segala PujianNya. Salam ke atasmu Duhai Nabi berserta Rahmat Allah dan Segala KeberkatanNya.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Team MusicForum2007 (Studio Dikala Jingga) yang berusaha keras menyediakan ruang dan medan alternatif kepada anak-anak seni muzik tanahair, Malaysia. Tahniah! Terima kasih sekali lagi kerana menjemput saya dan berkongsi pandangan yang bisa menjadi pedoman untuk kita sama-sama terus mara ke hadapan.

Disini, izinkan saya berkongsi sedikit pandangan yang mungkin tidak kesampaian untuk diceritakan kepada teman-teman sekalian.

Kita biasa mendengar pelbagai pandangan anak seni dan masyarakat tentang muzik, samada ianya merupakan perjuangan mereka, atau sekadar hiburan, atau untuk cari makan, atau untuk kebanggaan diri, atau dakwah secara ‘berbayar’, atau untuk apa sahaja yang mereka katakan.

Tetapi, saya sebagai manusia biasa yang diuji oleh Tuhan merentasi kehidupan dunia ini, juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap muzik itu sendiri.

Yang pertama, kita lihat dulu apa pandangan Tuhan terhadap “penyair-penyair”. Kita imbas kembali ayat-ayat akhir surah Asy-Syu’ara. Saya tidak akan kupas atau membuat ulasan tentang apa tentang apa yang telah diperjelaskan oleh ayat-ayat tersebut lantaran ayat-ayat tersebut adalah amat jelas dan nyata serta tiada keraguan bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu, tidak diikuti penyair-penyair itu melainkan mereka-mereka yang sesat kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Kita amat mudah terjerumus kepada kemurkaan Tuhan, yang mana membuatkan saya agak takut untuk cenderung kepada bidang ini sebenarnya.

Namun, saya gagahi untuk meluahkan perasaan terpendam dalam menghasilkan sesuatu melalui muzik kerana muzik adalah bahasa yang bisa menembusi hati dan perasaan manusia. Tentunya saya mempunyai cita-cita dan perjuangan tersendiri yang saya yakin bahawa cita-cita dan perjuangan saya agak jauh berbeza dengan pandangan orang lain. Hanya mereka yang benar-benar mengenali saya akan mengetahuinya.

Disini, izinkan saya berkongsi pengalaman dengan teman-teman sekalian. Dalam menghasilkan lagu-lagu untuk dijadikan album, saya telah bekerjasama dengan beberapa orang yang merupakan tenaga profesional tempatan seperti KunciDemak (Rudi), James Boyle (Composer), Kelly(Bassist), Oney(MAY), Amir (guitarist EYE), Pearly Ng, Mus MAY (Mixing Engineer), Omi King Studio (Mixing Engineer), Mr. Toh (Mastering One) dan beberapa orang lagi yang telah membantu samada secara langsung atau tidak, yang telah dianugerahkan kepada mereka pengalaman dan ilmu yang berbeza dengan saya.

Setelah siap lagu-lagu tersebut dan setelah diperdengarkan kepada umum, ianya seolah-olah seperti membuat kek pisang, cepat disajikan setelah siap dimasak. Sebenarnya, sepanjang berlangsungnya proses bagi merealisasikan 2 lagu dalam single album ini, usaha ini tidak hanya terbatas kepada masa dan tenaga sahaja, bahkan melibatkan kos serta kehidupan. Tambahan pula, usaha ini tidak mendapat sokongan kewangan dari mana-mana agensi. Oleh itu, SHINE STAR RECORDS (SSR), sebagai syarikat pemilikan tunggal telah menjadi tiang seri bagi menjayakan impian ini, semestinya mempunyai target pasaran serta pulangan yang baik, kerana pulangan yang baik itulah yang akan membantu sekaligus menjadi modal bagi mencatur langkah seterusnya dalam mencapai wawasan syarikat. ‘Pulangan baik’ yang dimaksudkan di sini adalah samada berbentuk sokongan moral, dorongan semangat, bantuan ilmu pengetahuan serta pengalaman, mahupun berbentuk material.

Wawasan adalah kemuncak segala acara, juga merupakan sesuatu yang amat besar dan sangat berharga. Wawasan adalah ‘puncak tertinggi’ segala sesuatu. Oleh itu, bagi mencapai wawasan yang pastinya memerlukan perancangan jangka panjang, adalah ibarat orang yang sedang berjuang, …usah tewas sebelum berjuang…, …usah berperang sebelum menang…. Perancangan perlu rapi dan teratur.

Kebiasaannya kita akan merahsiakan rencana perjuangan kita agar mereka tidak bisa meng-agak caturan langkah yang bakal kita susun. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak… Usah tengadah sebelum berjuang… kita bisa bangun perlahan-lahan, belajar dari kesilapan, bangun lagi, usahakan yang terbaik… agar tidak rebah lalu jatuh lagi tersungkur…

Itu adalah pandangan saya sebagai pemilik Independence Record Label kecil, SHINE STAR RECORDS. Tetapi, sekiranya teman-teman bertanya kepada saya tentang wawasan diri ini, dan andai kalian mengetahuinya, pastinya kalian akan tercengang bingung menggaru kepala sambil menepuk dahi… kerana impian diri ini adalah jauh berbeza…

Wawasan diri saya, agar dihidayahkan Jalan Yang Lurus… tidak semua umat temui jalan ini, walaupun jalan ini sudah terbentang di depan mata. Kita biasa merasa diri ini dekat kepadaNya, rupanya kita semakin jauh terpinggir menuju azabNya. Ramai antara kita yang solat, tetapi berapa banyak pula amalan solat yang dicampakkan kembali ke muka kita ibarat kain buruk. Saya manusia biasa yang sering melakukan kesalahan terhadap Tuhan… sering memohon ampun… dan sering juga kembali melanggar batasanNya. Bila disedari akan kesilapan, kembali memohon keampunan… Selalunya, sering ulangi kesalahan yang sama… Tentunya kita akan cuba baiki kelemahan Iman serta impikan mencapai tahap yang soleh, kerana itulah satu-satunya jaminan salam yang kekal abadi.

Sebab itu, apabila saya diajukan soalan oleh teman-teman mengenai wawasan dalam muzik, saya lebih gemar mengaitkannya selaras dengan wawasan syarikat kerana ia tidak lebih dari kehidupan sementara dunia.

Andai ditanya kepada saya tentang instrument seruling, jawapan saya adalah mudah. Seruling adalah alat munajat. Nabi Daud a.s. telah dikurniakan Tuhan kepadanya suara yang amat merdu. Juga dianugerahkan kepadanya kitab zabur yang terkandung di dalamnya munajat-munajat. Seruling yang dikurniakan kepadanya adalah instrument munajatnya kepada Tuhan. Bukan sebagai alat muzik. Diceritakan bahawa makhluk-makhluk alam bisa terpaku dan terhenti seketika sepanjang beliau mengalunkan munajatnya kepada Tuhannya.

Dalam usaha saya meneraju SSR melalui medium muzik, saya telah cuba fikirkan dan usahakan yang terbaik. Saya gabungkan elemen tradisional dan moden untuk penghasilan album sulung… semuanya adalah instrument masa kini… zaman sekarang... Kita campurkan beberapa diantaranya, kerana pertemuan bunyi dari gabungan beberapa instrument akan melahirkan mood dan jiwa yang berbeza, mood yang terhasil bisa membawa kita mengembara ke dimensi alam atau zaman yang berlainan.

Pastinya SSR punya perancangan jangka pendek, juga perancangan jangka panjang. Agar usaha ini tidak terbantut separuh jalan, InsyaAllah… SSR akan tetap bergerak selagi Tuhan mengizinkannya untuk berjalan. Saya hanya merancang, Tuhan jua yang menentukan…

Buat pengetahuan teman-teman, sudah jelas disini bahawa wawasan diri saya tentunya jauh beza dengan wawasan syarikat. Diharap, teman-teman dan pendengar lagu-lagu saya sekalian dapat memahami perbezaan impian antara wawasan saya dan syarikat. Ternyata berbeza…

InsyaAllah, kita akan bertemu lagi di lain bicara, semoga kita mendapat petunjuk dariNya, agar tergolong dikalangan orang-orang yang soleh.

Salam,
Rohaslam Hizad Ahmad.

PENULISAN