Thursday, May 22, 2008

Pandangan Peribadi Tentang Apa Itu Muzik?

Assalamualaikum w.b.t.

Pertama sekali, syukur ke hadrat Tuhan Yang Esa, Segala Pujian yang sememangnya adalah milikNya Selamanya, Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung Dengan Segala PujianNya. Salam ke atasmu Duhai Nabi berserta Rahmat Allah dan Segala KeberkatanNya.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Team MusicForum2007 (Studio Dikala Jingga) yang berusaha keras menyediakan ruang dan medan alternatif kepada anak-anak seni muzik tanahair, Malaysia. Tahniah! Terima kasih sekali lagi kerana menjemput saya dan berkongsi pandangan yang bisa menjadi pedoman untuk kita sama-sama terus mara ke hadapan.

Disini, izinkan saya berkongsi sedikit pandangan yang mungkin tidak kesampaian untuk diceritakan kepada teman-teman sekalian.

Kita biasa mendengar pelbagai pandangan anak seni dan masyarakat tentang muzik, samada ianya merupakan perjuangan mereka, atau sekadar hiburan, atau untuk cari makan, atau untuk kebanggaan diri, atau dakwah secara ‘berbayar’, atau untuk apa sahaja yang mereka katakan.

Tetapi, saya sebagai manusia biasa yang diuji oleh Tuhan merentasi kehidupan dunia ini, juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap muzik itu sendiri.

Yang pertama, kita lihat dulu apa pandangan Tuhan terhadap “penyair-penyair”. Kita imbas kembali ayat-ayat akhir surah Asy-Syu’ara. Saya tidak akan kupas atau membuat ulasan tentang apa tentang apa yang telah diperjelaskan oleh ayat-ayat tersebut lantaran ayat-ayat tersebut adalah amat jelas dan nyata serta tiada keraguan bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu, tidak diikuti penyair-penyair itu melainkan mereka-mereka yang sesat kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Kita amat mudah terjerumus kepada kemurkaan Tuhan, yang mana membuatkan saya agak takut untuk cenderung kepada bidang ini sebenarnya.

Namun, saya gagahi untuk meluahkan perasaan terpendam dalam menghasilkan sesuatu melalui muzik kerana muzik adalah bahasa yang bisa menembusi hati dan perasaan manusia. Tentunya saya mempunyai cita-cita dan perjuangan tersendiri yang saya yakin bahawa cita-cita dan perjuangan saya agak jauh berbeza dengan pandangan orang lain. Hanya mereka yang benar-benar mengenali saya akan mengetahuinya.

Disini, izinkan saya berkongsi pengalaman dengan teman-teman sekalian. Dalam menghasilkan lagu-lagu untuk dijadikan album, saya telah bekerjasama dengan beberapa orang yang merupakan tenaga profesional tempatan seperti KunciDemak (Rudi), James Boyle (Composer), Kelly(Bassist), Oney(MAY), Amir (guitarist EYE), Pearly Ng, Mus MAY (Mixing Engineer), Omi King Studio (Mixing Engineer), Mr. Toh (Mastering One) dan beberapa orang lagi yang telah membantu samada secara langsung atau tidak, yang telah dianugerahkan kepada mereka pengalaman dan ilmu yang berbeza dengan saya.

Setelah siap lagu-lagu tersebut dan setelah diperdengarkan kepada umum, ianya seolah-olah seperti membuat kek pisang, cepat disajikan setelah siap dimasak. Sebenarnya, sepanjang berlangsungnya proses bagi merealisasikan 2 lagu dalam single album ini, usaha ini tidak hanya terbatas kepada masa dan tenaga sahaja, bahkan melibatkan kos serta kehidupan. Tambahan pula, usaha ini tidak mendapat sokongan kewangan dari mana-mana agensi. Oleh itu, SHINE STAR RECORDS (SSR), sebagai syarikat pemilikan tunggal telah menjadi tiang seri bagi menjayakan impian ini, semestinya mempunyai target pasaran serta pulangan yang baik, kerana pulangan yang baik itulah yang akan membantu sekaligus menjadi modal bagi mencatur langkah seterusnya dalam mencapai wawasan syarikat. ‘Pulangan baik’ yang dimaksudkan di sini adalah samada berbentuk sokongan moral, dorongan semangat, bantuan ilmu pengetahuan serta pengalaman, mahupun berbentuk material.

Wawasan adalah kemuncak segala acara, juga merupakan sesuatu yang amat besar dan sangat berharga. Wawasan adalah ‘puncak tertinggi’ segala sesuatu. Oleh itu, bagi mencapai wawasan yang pastinya memerlukan perancangan jangka panjang, adalah ibarat orang yang sedang berjuang, …usah tewas sebelum berjuang…, …usah berperang sebelum menang…. Perancangan perlu rapi dan teratur.

Kebiasaannya kita akan merahsiakan rencana perjuangan kita agar mereka tidak bisa meng-agak caturan langkah yang bakal kita susun. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak… Usah tengadah sebelum berjuang… kita bisa bangun perlahan-lahan, belajar dari kesilapan, bangun lagi, usahakan yang terbaik… agar tidak rebah lalu jatuh lagi tersungkur…

Itu adalah pandangan saya sebagai pemilik Independence Record Label kecil, SHINE STAR RECORDS. Tetapi, sekiranya teman-teman bertanya kepada saya tentang wawasan diri ini, dan andai kalian mengetahuinya, pastinya kalian akan tercengang bingung menggaru kepala sambil menepuk dahi… kerana impian diri ini adalah jauh berbeza…

Wawasan diri saya, agar dihidayahkan Jalan Yang Lurus… tidak semua umat temui jalan ini, walaupun jalan ini sudah terbentang di depan mata. Kita biasa merasa diri ini dekat kepadaNya, rupanya kita semakin jauh terpinggir menuju azabNya. Ramai antara kita yang solat, tetapi berapa banyak pula amalan solat yang dicampakkan kembali ke muka kita ibarat kain buruk. Saya manusia biasa yang sering melakukan kesalahan terhadap Tuhan… sering memohon ampun… dan sering juga kembali melanggar batasanNya. Bila disedari akan kesilapan, kembali memohon keampunan… Selalunya, sering ulangi kesalahan yang sama… Tentunya kita akan cuba baiki kelemahan Iman serta impikan mencapai tahap yang soleh, kerana itulah satu-satunya jaminan salam yang kekal abadi.

Sebab itu, apabila saya diajukan soalan oleh teman-teman mengenai wawasan dalam muzik, saya lebih gemar mengaitkannya selaras dengan wawasan syarikat kerana ia tidak lebih dari kehidupan sementara dunia.

Andai ditanya kepada saya tentang instrument seruling, jawapan saya adalah mudah. Seruling adalah alat munajat. Nabi Daud a.s. telah dikurniakan Tuhan kepadanya suara yang amat merdu. Juga dianugerahkan kepadanya kitab zabur yang terkandung di dalamnya munajat-munajat. Seruling yang dikurniakan kepadanya adalah instrument munajatnya kepada Tuhan. Bukan sebagai alat muzik. Diceritakan bahawa makhluk-makhluk alam bisa terpaku dan terhenti seketika sepanjang beliau mengalunkan munajatnya kepada Tuhannya.

Dalam usaha saya meneraju SSR melalui medium muzik, saya telah cuba fikirkan dan usahakan yang terbaik. Saya gabungkan elemen tradisional dan moden untuk penghasilan album sulung… semuanya adalah instrument masa kini… zaman sekarang... Kita campurkan beberapa diantaranya, kerana pertemuan bunyi dari gabungan beberapa instrument akan melahirkan mood dan jiwa yang berbeza, mood yang terhasil bisa membawa kita mengembara ke dimensi alam atau zaman yang berlainan.

Pastinya SSR punya perancangan jangka pendek, juga perancangan jangka panjang. Agar usaha ini tidak terbantut separuh jalan, InsyaAllah… SSR akan tetap bergerak selagi Tuhan mengizinkannya untuk berjalan. Saya hanya merancang, Tuhan jua yang menentukan…

Buat pengetahuan teman-teman, sudah jelas disini bahawa wawasan diri saya tentunya jauh beza dengan wawasan syarikat. Diharap, teman-teman dan pendengar lagu-lagu saya sekalian dapat memahami perbezaan impian antara wawasan saya dan syarikat. Ternyata berbeza…

InsyaAllah, kita akan bertemu lagi di lain bicara, semoga kita mendapat petunjuk dariNya, agar tergolong dikalangan orang-orang yang soleh.

Salam,
Rohaslam Hizad Ahmad.

1 comment:

Anonymous said...

alat munajat Nabi Daud...i like this statement..fall in love as i fall in love with Vangelis, Yanni,Kitaro nd Enya kinda music..keep up your good work bro.

PENULISAN